Faiza tampil produk baru
Sebut sahaja Syarikat Faiza Sdn Bhd, produk utama yang terlintas di
fikiran sudah tentunya beras. Namun Syarikat Faiza bukanlah semata-mata
syarikat pengeluar beras, sebaliknya telah bermula dengan perniagaan
berupa rempah ratus sejak tahun 1968 lagi.
Pada 1989, Syarikat Faiza memulakan perniagaan dengan menjadi pembekal
dan pengeluar beras ke pasaran tempatan, secara kecil-kecilan.
Kini, Syarikat Faiza mengorak langkah ke hadapan dengan mempelbagaikan
rangkaian produknya kepada produk lain seperti rempah ratus, tepung, air
mineral dan garam bermula 2007.
Setelah lebih 10 tahun beroperasi, lebih 100 produk bukan beras
dihasilkan. Awal tahun ini, Syarikat Faiza telah memperkenalkan beberapa
produk baru seperti bihun tomyam dan sup serta madu.
Bagi menambah rangkaian produk bukan beras keluarannya, Syarikat Faiza
bakal melancarkan beberapa lagi produk baru tidak lama lagi.
Syarikat Faiza juga membuka sebuah kedai runcit Faiza yang beroperasi
sejak 1972 sehingga kini, yang terletak di Batu Pahat, Johor dengan
menjual semua produk Faiza dan beberapa produk keluaran syarikat lain.
Bakal perkenal pes segera
Pengarah Urusannya, Faiza Bawumi Sayed Ahmad berkata, produk terbaru
itu kini dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang telah
pun di peringkat terakhir iaitu pembungkusan.
“Kami menjalankan R&D selama dua tahun bagi memastikan produk yang dihasilkan adalah terbaik dalam pasaran.
“Bagi memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa, kami akan ke
Paris bagi tujuan mempromosikan produk terbaru dan produk lain seperti
kicap, bihun, rempah dan ketupat segera dengan kerjasama Perbadanan
Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
(Matrade),” katanya, ketika ditemui Sinar Harian, di pejabatnya di Taman Perindustrian Subang, baru-baru ini.
Produk baru itu adalah pes segera kari ayam, kari ikan, rendang, berani
dan sambal tumis yang dijangka berada di pasaran tempatan sebelum
akhir tahun ini.
Menurutnya, sasaran utama produk baru itu adalah bagi menerokai pasaran antarabangsa selain pasaran tempatan.
Faiza berkata, bagi memperluaskan pasaran produk, Syarikat Faiza juga
bakal membawa produk bukan beras keluarannya ke Kaherah pada November
ini, dengan kerjasama Matrade dan Kerajaan Johor.
Selain itu, Syarikat Faiza turut merancang membawa produk syarikatnya ke pasaran Eropah dan Timur Tengah.
Giat eksport produk
Menurut Faiza, produk bukan beras Syarikat Faiza turut dieksport ke New
Zealand sejak 2009 dan kini di Sydney, Melbourne, Brunei, Singapura,
Vietnam menerusi Pasar Raya Parkson dan Arab Saudi.
Manakala bagi pasaran tempatan, produk tersebut boleh diperoleh di
Pasara Raya Tesco, Carrefour, Billion, Giant, Tunas Manja dan Tiong Fat
seluruh negara.
Faiza berkata, rempah ratus adalah produk paling banyak menyumbang
kepada perolehan syarikat iaitu 80 peratus daripada keseluruhan
pendapatan. Awal tahun ini sahaja, Syarikat Faiza telah melancarkan
produk baru iaitu bihun segera dalam dua perisa iaitu tomyam dan sup
pada akhir Mei lalu.
“Selain itu, kami turut memperkenalkan produk madu lebah sejak enam bulan lalu dengan harga pasaran RM48 sebotol.
“Produk ini boleh diperoleh di Pasar Besar Giant dan pasar mini seluruh
negara, bagaimanapun, masih belum memasuki pasaran Sabah dan Sarawak,”
katanya.
Syarikat Faiza bakal membuka kilang khusus bagi produk rempah milik
sendiri sepenuhnya di Bandar Enstek, Nilai menjelang akhir 2013.
“Kilang itu nanti akan didatangkan dengan sijil Analisis Bahaya dan
Titik Kawalan Kritikal (HACCP), sijil halal, mendapat persijilan
ISO/9001 dan Sijil Amalan 5S.
http://www.sinarharian.com.my/bisnes/faiza-tampil-produk-baru-1.87928
No comments:
Post a Comment